4 Oct 2011

Perjalanan selepas mati

Kali ini aku hendak memperkenalkan ikhwah kepada karangan Imam al-Haddad yang masyhur dengan jodol "Sabilul Iddikar wal I'tibaar". Satu karangan yang cukup bernilai. Karangan yang membicarakan dan memperjelaskan mengenai fasa-fasa kehidupan yang telah dan akan dilalui oleh seseorang insan bermula di alam arwah sejak dari penciptaan Nabi Adam a.s. sehinggalah ke kehidupan yang kekal abadi di Syurga atau di neraka (moga-moga Allah jadikan kita sekalian dan ibubapa kita dari kalangan ahli syurga dan bukannya ahli neraka, aaaamiiin). Kitab ini telah diterjemahkan dalam Bahasa Melayu oleh almarhum Habib Ahmad BinSemait rhm. dengan jodol "Peringatan Tentang Umur Insan" dalam edisi Rumi dan Jawi. Juga diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris oleh Dr. Mostafa al-Badawi (murid Habib Ahmad Masyhur al-Haddad rhm.) dengan jodol "The Lives of Man". Aku syorkan ikhwah untuk mendapatkannya dan membacanya, mudah-mudahan ada manfaatnya pada menambah ilmu, melembutkan hati dan memantapkan amalan. Kalau dapat carilah yang dalam bahasa asalnya dan mengajilah dengan guru-guru yang betul, kerana pada terjemahan Melayunya itu masih kedapatan sedikit kekeliruan atau kesilapan terjemah (mudah-mudahan Allah memberi ganjaran pahala setinggi-tingginya kepada almarhum Habib Ahmad BinSemait dan menghapuskan salah-silapnya dan menggantikannya dengan hasanah yang berlipat ganda), bagi terjemahan Inggeris aku tak berani nak komen sebab aku belum berkesempatan untuk mentelaahnya.

Penghujung umur dunia ini adalah dengan memasuki gerbang barzakh atau alam kubur. Imam al-Haddad rhm. telah menyenaraikan fasa-fasa kehidupan atau fasa-fasa umur seseorang insan dengan jelas dan dalam bahasa yang mudah dimengertikan orang awam seperti kita, di mana beliau r.a. telah menyenaraikan 5 fasa umur manusia seperti berikut:-

kehidupan roh di alam arwah yang kesudahannya dengan dilahirkan ke alam dunia;
kehidupan di dunia berkesudahan dengan memasuki alam barzakh;
kehidupan di alam barzakh berkesudahan dengan dibangkitkan untuk hari Mahsyar;
kehidupan Mahsyar berkesudahan dengan memasuki syurga atau neraka;
kehidupan akhirat yang kekal abadi, sama ada di syurga atau di neraka.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...